KUCHING: Stesen penyiaran milik Sarawak, Televisyen Sarawak (TVS) bakal memiliki bangunan sendiri yang dijangka siap pada 2027.
Berkongsi berita gembira itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bangunan ini nanti akan dibangun berdekatan Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya, di sini.
Jelas beliau, jangkaan siap itu bertepatan penganjuran Sukan Asia Tenggara (SEA), membolehkan TVS membuat penyiaran ke seluruh negara memandangkan Sarawak merupakan penganjur bersama temasya berprestij berkenaan.
“Kita harap bangunan baharu itu akan siap pada 2027 kerana kita akan menjadi sebahagian daripada tuan rumah Sukan SEA 2027.
TVS sudah tentu akan menjadi badan bertanggungjawab untuk menyiarkan secara langsung laporan acara yang ada di Sarawak.
“Sebab itu kita berharap bangunan berkenaan dapat disiapkan, dengan kelengkapan studio yang canggih untuk memberi siaran langsung kepada negara-negara yang mengambil bahagian termasuk Indonesia, Singapura dan negara-negara dalam blok Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN),” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri TVS 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, timbalan-timbalan menteri serta kenamaan lain.